Operasi pisahkan gerabak dua tren paling mencabar – Prasarana

0
1

KERJA-kerja pemulihan untuk operasi penuh perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya diteruskan hari ini dengan fokus untuk mengeluarkan kedua-dua tren yang terlibat dalam insiden Isnin lepas.

Prasarana dalam kenyataan, berkata ia melibatkan kakitangan daripada Jabatan Penyelenggaraan Rangkaian Trek, Jabatan Stok Kereta (Rolling Stock), dan Jabatan Komunikasi dan Semboyan (Signalling and Communication Wayside) daripada kelima-lima rangkaian rel iaitu LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, MRT Laluan Kajang, MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Monorel.

Kenyataan itu berkata, kerja-kerja pemulihan memasuki hari kedua hari ini dengan kira-kira 50 staf kejuruteraan dan teknikal bekerja pada setiap syif.

“Kerja-kerja pemulihan berjalan lancar dan dijangka akan selesai dalam masa tiga hari seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Pengangkutan.

“Sejurus selepas kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan mangsa pada malam berkenaan, pasukan pemulihan memulakan kerja mereka serta merta dengan membuat penilaian terhadap kerosakan dan diikuti dengan kerja-kerja awalan sebelum memulakan kerja-kerja pemulihan,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, bahagian paling mencabar adalah untuk memisahkan gerabak-gerabak untuk kedua-dua tren dan menaikkan enam gerabak yang tergelincir kembali ke atas landasan.

Kata kenyataan itu, sehingga malam tadi, lima daripada enam gerabak berkenaan sudah berjaya dinaikkan.

“Kerja-kerja hari ini tertumpu kepada gerabak terakhir; dan kerja-kerja berkaitan dengan proses mengeluarkan tren, yang kemudiannya akan dibawa ke Depoh LRT Kelana Jaya di Subang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here