SEORANG rakyat tempatan disahkan dijangkiti Varian Afrika Selatan B.1.351 dan telah meninggal dunia di Perlis.
Perkara itu dikongsi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi ciapan di Twitter rasminya sebentar tadi.
Bagaimanapun kementerian itu tidak memperincikan lebih lanjut lanjut mengenai pesakit berkenaan.
Pada 12 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan 14 kes tempatan Covid-19 dikesan pada tarikh tersebut adalah daripada varian Afrika Selatan B.1.351.
Kes tersebut dikesan di Kelantan, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.
Sehingga 17 Mei lalu, jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dijangkiti oleh varian Afrika Selatan B.1.351 di Malaysia adalah 66 kes.
Malaysia kini bukan sahaja berhadapan ledakan kes harian baharu Covid-19 tetapi juga perlu ‘berperang’ dengan varian yang lebih ganas dan mampu mencetuskan kadar jangkitan serta kematian lebih tinggi.
Malah, kadar kes harian baharu dijangka boleh mencecah sehingga lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang jika tidak dapat dibendung melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Empat varian itu ialah dari United Kingdom (UK), Afrika Selatan, Nigeria dan India. – Malaysiapost

