Agong zahir dukacita insiden dua tren LRT bertembung

0
2

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dan terkejut dengan berita kemalangan membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) semalam

Baginda berdoa semua mangsa kemalangan tersebut termasuk enam yang dilaporkan kritikal dan 15 yang lain separa kritikal, yang kini dirawat Hospital Kuala Lumpur (HKL) dikurniakan kesembuhan segera.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur kerana semua penumpang dapat dikeluarkan dari tempat kejadian dan dibawa ke HKL segera bagi mendapatkan rawatan.

Menyifatkan insiden tersebut sebagai serius, Al-Sultan Abdullah menzahirkan setinggi penghargaan kepada petugas keselamatan dan kecemasan atas kepantasan serta kesungguhan mereka dalam usaha menyelamat dan merawat mangsa.

“Baginda turut menzahirkan harapan agar pihak berkaitan memberikan keutamaan kepada mangsa kemalangan, khususnya dalam bentuk keperluan rawatan dan kebajikan mereka.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar insiden tersebut dijadikan ikhtibar kepada semua pihak berkaitan untuk memastikan ia tidak berulang bagi memastikan keselamatan penumpang terjamin dan dipelihara dengan sebaiknya,” kata kenyataan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here