SEORANG Exco Kerajaan Kelantan menyeru kepada golongan VIP, selebriti, instafamous, ketua-ketua jabatan, pimpinan masyarakat serta para asatizah supaya menunjukkan tauladan yang baik kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata demikian ketika ada individu dalam golongan tersebut, khususnya selebriti dan instafamous dikecam netizen.
Ini kerana ada yang berulang kali melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah telah didakwa di mahkamah dan dikompaun.
Beliau seterusnya meminta golongan terbabit menjadi contoh tauladan kepada orang ramai, sebagaimana firman Allah surah Ahzab ayat ke 21 yang bermaksud.
“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat dan yang banyak mengingat Allah.” (Al-Ahzab Ayat 21).
Dr Izani juga meminta golongan tersebut supaya menjadi pendokong usaha kerajaan dan menjadi contoh kepada masyarakat dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19.
“Patuhi SOP, dan jangan berbangga melanggar SOP. Insya-Allah orang ramai akan turut serta menyokong agenda ini. Tegur ke arah kebaikan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

