PERSATUAN Sepaktakraw Negeri Sabah (ASTAKA) memutuskan penarikan diri sebagai ahli gabungan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berkuatkuasa serta-merta.
Ia susulan penyingkiran PSM sebagai ahli gabungan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) pada 20 Mei lalu.
Presiden ASTAKA, Datuk Awang Sham Amit berkata pihaknya mengambil maklum dan memandang serius keputusan ASTAF yang akan menjejaskan sukan sepak takraw negara pada masa akan datang.
Beliau berkata, keputusan menarik diri itu dibuat melalui Mesyuarat Khas Jawatankuasa Eksekutif ASTAKA pada 22 Mei lalu.
“Pada masa sama, ASTAKA menyokong usaha penubuhan persatuan badan induk negara yang baharu bagi memastikan kelangsungan sukan sepak takraw terus maju ke hadapan.
“ASTAKA setulus hati mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada PSM serta barisan kepimpinannya atas segala usaha dan bakti yang telah ditaburkan kepada sukan sepak takraw negara sepanjang penubuhannya,” katanya menerusi kenyataan.
Pada 20 Mei lalu, PSM disingkirkan sebagai ahli gabungan ASTAF berkuatkuasa serta-merta.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin ASTAF (ASTAFDP), Yogender Singh Dahiya dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dicapai selepas sesi pendengaran secara maya, hari ini yang turut membabitkan wakil dari India, Indonesia, Iran, Jepun, Malaysia, Pakistan dan Thailand susulan pertuduhan yang dikenakan ke atas PSM.
PSM didapati bersalah susulan tindakan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) pada 24 Februari lalu.
ASTAF melihat tindakan itu jelas melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.
PSM diberi tempoh 14 hari bagi mengemukakan rayuan terhadap hukuman itu dan sekiranya gagal melakukannya, badan induk berkenaan dianggap bersalah dan akan disingkirkan serta-merta.
Sebelum ini Persatuan Sepak Takraw Perak (PERSEDAR), Persatuan Sepak Takraw Sarawak (PSS) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (PESTANS) telah menarik diri daripada PSM.
Ia selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan badan induk itu susulan kemelut yang melanda dengan ASTAF.
Ketiga-tiga persatuan itu juga menyokong penuh usaha untuk menubuhkan persatuan sepak takraw yang baharu. – Malaysiapost

