BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyindir kononnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 4.0 akan diumumkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh dua bulan akan datang.
Beliau berkata, pelaksanaan PKP 3.0 yang tidak seketat seperti PKP 1.0 tidak akan berjaya membantu Malaysia untuk memutuskan rantaian Covid-19 seperti mana yang terbukti pada tahun lalu.
“Sebab kita tak berazam dan tak tegas untuk tutup semua seperti PKP 1.0 untuk masa 21 hari atau sebulan dengan bantuan sewajarnya untuk putuskan rantaian Covid, pengalaman PKP 2.0 akan berulang,” katanya di Facebook, hari ini.
Najib memberi respon begitu susulan langkah kerajaan yang mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 melibatkan sektor ekonomi dan sosial yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu juga berpendapat, meskipun SOP telah diperketatkan, ianya tidak dapat melandaikan lengkuk graf Covid-19, sebaliknya hanya berkesan untuk mengawal dan memperlahankan jangkitan virus itu.
“Kes baharu mungkin akan turun secara perlahan ke 2,000 dan kerajaan akan mula beri satu persatu kelonggaran walaupun kes masih tinggi sebab orang ramai dah tak dapat tahan lagi pada ketika bantuan tidak mencukupi.
“Selepas kelonggaran diberi, kes akan naik semula ke 5,000 atau 6,000 dalam sebulan dua dan kerajaan akan umum PKP 4.0,” sindirnya.
Dalam pengumuman petang hari ini, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan akan terus menggunakan pendekatan melonggarkan sekatan atau SOP PKP jika kes Covid-19 menurun dan dapat dikawal.
Katanya, jika kes meningkat semula, SOP akan diketatkan melalui pelaksanaan PKP mahupun PKP Diperketatkan (PKPD). – Malaysiapost

