AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi membantah sekeras-kerasnya tindakan pihak hospital menafikan hak pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ia susulan kenyataan Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman semalam, menjelaskan jika peningkatan kes Covid-19 berterusan di negeri itu, pihaknya menjangkakan pesakit kronik lain akan mempunyai ruang terhad mendapatkan rawatan di ICU.
Sehubungan itu, Mohd Puad mempersoalkan sama ada keputusan berkenaan adalah polisi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau ketetapan Jabatan Kesihatan Kedah.
“Kalau benar, apakah tidak ada alternatif lain. Kenapa tidak guna kemudahan hospital swasta. Tidakkah kerajaan ada kuasa darurat untuk laksanakannya?
“Justeru, saya bantah keras keputusan tersebut. Saya yakin rakyat juga turut membantah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Semalam, media melaporkan hak pesakit kronik bukan Covid-19 yang perlu dirawat di ICU dibimbangi terpaksa dinafikan berikutan jumlah kes Covid-19 yang semakin meningkat di Kedah.
Dr Mohd Hayati berkata, walaupun jumlah katil di ICU masih mencukupi, pihaknya bimbang jika pesakit kritikal lain tidak dapat dimasukkan ke ICU yang kini dipenuhi pesakit Covid-19.
Beliau berkata, pegawai perubatan bertugas terpaksa membuat penilaian cukup berat dalam memilih antara pesakit kritikal dan pesakit Covid-19 yang perlu dimasukkan segera ke ICU.
“Saya serba salah hendak maklum atau tidak keadaan ini, tetapi perlu beritahu juga. Dalam sesetengah kes doktor terpaksa pilih yang mana perlu hantar ke ICU, sekiranya pesakit terlalu kronik dan tidak mempunyai harapan, kita tidak masukkan dia lagi ke ICU.
“Ini termasuk pesakit bukan kes Covid-19, doktor akan membuat penelitian cukup berat bagi setengah kes. Bagaimanapun, kita sebolehnya akan merawat semua pesakit sehingga sembuh dan stabil,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/20/hospital-terpaksa-pilih-antara-yang-hidup-dan-tiada-lagi-harapan/

