Hamas, Israel setuju gencatan senjata

0
2

PEJUANG Hamas dan Zionis Israel bersetuju mengadakan gencatan senjata bagi menamatkan ketegangan di Gaza berkuat kuasa awal pagi Jumaat, waktu tempatan.

Perkara berkenaan disahkan jurucakap Hamas dan Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam.

Kenyataan pejabat Perdana Menteri Israel Netanyahu itu berkata, kabinetnya sebulat suara menerima saranan yang diusulkan Mesir untuk mengadakan gencatan senjata tanpa syarat.

Bagaimanapun, beberapa minit selepas pengumuman itu dibuat, kedua-dua belah pihak tetap terus melakukan pertempuran apabila beberapa roket dilihat terus dilancarkan.

Sekiranya gencatan itu benar-benar dilaksanakan maka ianya berpotensi menamatkan perang yang berlangsung selama 11 hari.

Sementara itu, seorang anggota kabinet Israel mengatakan gencatan senjata itu akan berkuat kuasa jam 2 pagi waktu tempatan iaitu 7 pagi waktu Malaysia, kira-kira tiga jam selepas pengumuman dibuat.

Semalam, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mendesak Netanyahu meredakan ketegangan manakala Mesir, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu kedua-dua pihak mencari penyelesaian.

Biden membincangkan situasi Gaza bersama Presiden Mesir justeru Rumah Putih menyatakan laporan gerakan menuju gencatan senjata adalah positif.

Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi sebelum ini mengarahkan dua delegasi keselamatan ke tanah haram Israel dan Wilayah Palestin bagi berusaha mengadakan gencatan senjata.

Setakat ini, peperangan antara kedua-dua belah pihak yang bermula 10 Mei itu telah mengakibatkan 232 nyawa rakyat Palestin terkorban termasuk 65 kanak-kanak.

Angka korban Zionis Israel pula disahkan seramai 12 orang dengan ratusan cedera dalam serangan roket Hamas. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here