TERMINAL Feri Penumpang Kuala Kedah, Kedah akan ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Kota Setar, Kedah yang bermula esok.
Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, susulan itu tiada perkhidmatan feri penumpang dari atau ke Kuala Kedah dan Langkawi dari 19 Mei hingga 1 Jun depan.
“Selaras arahan pelaksanaan PKPD di Mukim Kota Setar oleh kerajaan berkuatkuasa 19 Mei hingga 1 Jun ini, dimaklumkan ia membabitkan Terminal Feri Penumpang Kuala Kedah.
“PKPD yang melarang semua jenis pergerakan keluar dan masuk ke lokasi terlibat boleh menyebabkan perkhidmatan feri dihentikan sepenuhnya. Oleh demikian, terminal dibawah sekian JLM itu akan ditutup sepanjang PKPD dan tiada perkhidmatan feri penumpang,” menurut kenyataan itu.
JLM bagaimanapun memaklumkan, perkhidmatan kargo antara Kuala Kedah ke Langkawi masih diteruskan.
“Perkhidmatan Mod Pengangkutan Laut (Essential Services) masih mempunyai alternatif menggunakan feri RORO di Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis yang tidak termasuk sebagai lokaliti PKPD.
“Pihak jabatan mendukung hasrat kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.
“Pematuhan prosedur operasi standart (SOP) yang berkuatkuasa dan kerjasama diantara JLM dan agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa dikemas kini dalam memastikan pematuhan SOP sepanjang perjalanan dan keselamatan penumpang terkawal dan terjaga,” katanya.
PKPD Kota Setar akan bermula jam tengah malam ini sehingga 1 Jun ini membabitkan 28 mukim di daerah berkenaan ini berikutan penularan wabak Covid-19. – Malaysiapost

