Kritik perutusan PM isu Palestin: Chang Kim didesak mohon maaf

0
1

Nurul Huda Abhar

PEMIMPIN DAP, Teng Chang Khim digesa memohon maaf kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia susulan kenyataannya berhubung pendirian tegas Malaysia terhadap isu Palestin, baru-baru ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Razali Idris, berkata ADUN Bandar Baru Klang itu juga didesak untuk menarik balik kenyataan biadap tersebut yang disifatkan tidak patriotik.

Razali berkata, kritikan Chang Khim yang juga seorang EXCO Kerajaan Selangor tidak melambangkan keperibadian beliau sebagai seorang EXCO, ADUN dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, kemakmuran dan kedamaian sejagat.

“Saya juga hendak mempersoalkan adakah tindakan YB Teng Chang Khim ini sebagai ejen provokasi kerajaan Israel yang mencuba memanipulasikan keadaan semasa termasuk mengkritik kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN)?

“Adakah tindakan pemimpin DAP dan parti DAP mempunyai kaitan langsung dengan arahan negara haram Israel bagi menganggu-gugat ketenteraman awam, kestabilan politik dan keselamatan negara seperti Malaysia yang menyokong kuat kepada perjuangan dan kemanusiaan rakyat Palestin?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Razali berkata, beliau juga memohon Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat tindak-tanduk pemimpin DAP yang mungkin menjadi boneka kepada negara haram Israel.

“Saya mengulangi pendirian tegas bagi parti Bersatu supaya jangan ada pihak-pihak tertentu yang mencuba menganggu-gugat keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya.

Semalam, Chang Khim menerusi hantaran Facebook mengkritik tindakan Muhyiddin menyatakan pendirian tegas Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin yang ketika ini berdepan pencerobohan serta keganasan tentera Israel.

Chang Khim menyifatkan tindakan Perdana Menteri yang disampaikan melalui perutusan khas hanya sekadar mahu mengalih perhatian rakyat.

Sedangkan, katanya, Muhyiddin sepatutnya mengutamakan nyawa rakyat Malaysia yang terancam akibat Covid-19.

Sementara itu, Razali berkata pendirian Malaysia terhadap Palestin tidak ada kena mengena langsung dengan pandemik Covid-19 kerana ia adalah dua isu yang sangat berbeza.

Tambah beliau, isu yang berlaku di bumi Palestin bukannya diminta tetapi akibat kerakusan dan kekejaman Israel yang dirancang dan berulang-ulang.

“Maka tidak berasas langsung andainya dakwaan bahawa Perdana Menteri cuba mengalih persepsi rakyat Malaysia dalam permasalahan dalaman negara seperti pandemik Covid-19.

“Kerajaan PN sentiasa fokus dalam apa jua bentuk demi kesejahteraan rakyat dan prihatin dengan permasalahan sejagat,” ujarnya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here