ISRAEL meneruskan misi pengeboman Gaza hari ini sebagai membalas bedilan roket Palestin – ketika usaha diplomatik untuk gencatan senjata diperhebat.
Memetik laporan portal Aljazeera, Tentera Israel mendakwa bahawa mereka juga melakukan serangan terhadap Lebanon, sebagai tindak balas kepada enam peluncuran roket – yang gagal – dari kawasan di selatan negara itu.
Di Washington, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dilaporkan mengadakan perbualan telefon ketiganya dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan menyatakan sokongannya untuk gencatan senjata.
Rumah Putih memaklumkan Biden “mendorong untuk sedaya upaya memastikan orang awam yang tidak bersalah dilindungi” dan kedua-dua pemimpin itu “membincangkan perkembangan operasi ketenteraan Israel terhadap Hamas”.
Biden dilapor mahu membincangkan penglibatan AS dengan Mesir dan rakan-rakan lain untuk mencapai tujuan itu.
Ini adalah kali pertama Rumah Putih secara rasmi menyebut gencatan senjata dalam usaha berterusannya untuk membendung keadaan.
Sekurang-kurangnya 212 rakyat Palestin, termasuk 61 kanak-kanak terbunuh di Gaza sejak keganasan meletus lebih dari seminggu lalu. Sementara, kira-kira 1,500 orang Palestin cedera. – Malaysiapost

