MALAYSIA sedia menghantar tentera pengaman ke Palestin dibawah panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Malaysia tidak boleh membuat keputusan secara persendirian untuk menghantar misi ke Timur Tengah susulan konflik Palestin-Israel itu kerana terikat undang-undang antarabangsa.
“Kalau PBB minta (kita sedia hantar misi pengaman ke Palestin). Ia mesti ditentukan PBB, tidak boleh Malaysia membuat keputusan (sendiri) mesti bawah PBB itu peraturannya,” katanya pada sidang media di selepas di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.
Ismail Sabri berkata, Malaysia sebelum ini pernah menghantar pasukan pengaman di banyak negara melalui PBB.
“Memang kita ada hantar misi pengaman bawah panji PBB ke Lubnan, Filipina, Sudan, Sierra Leone dan Congo sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, dilaporkan Malaysia, Indonesia dan Brunei menyeru gencatan senjata antara Israel dan Hamas diadakan, untuk mengelakkan lebih banyak orang awam tercedera dan terbunuh.
Ketiga-tiga negara itu juga menyeru satu Persidangan Agung PBB khas diadakan untuk membuat resolusi menghentikan kekejaman terhadap rakyat Palestin. – Malaysiapost

