POLIS membuka kertas siasatan berhubung penularan di media sosial yang mendakwa ada sambutan majlis Hari Raya Aidilfitri di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed, berkata siasatan dibuat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Siasatan juga di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson memandang serius sebarang pelanggaran SOP Aidilfitri yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) memandangkan kes semakin meningkat setiap hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan pasukan petugas khas SOP Polis Port Dickson mengeluarkan kompaun kepada tiga individu kerana merentas negeri tanpa kebenaran.
“Orang ramai dinasihatkan mematuhi arahan dan hanya keluar rumah apabila perlu sahaja,” katanya. -Malaysiapost

