USIANYA baru 17 tahun namun sudah menjadi ibu dan kini terkandas di ibu negara bersama bayi kecilnya sejak Februari tahun lalu kerana tidak dapat pulang ke Sabah.
Dugaan hidup dihadapi remaja terbabit mendapat perhatian pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew yang tampil memberi bantuan selepas mendapat maklumat mengenainya daripada petugas di lapangan terbang.
Ebit yang menemui remaja terbabit malam tadi berasa sayu dengan apa yang dihadapinya ketika ini.
“Sayu rasa nak menyambut raya ni, bila tengah malam dapat mesej dari petugas di airport tentang adik remaja 17 tahun ini bersama bayinya. Adik ni nak balik Sabah terkandas kerana masalah dokumen.
“Sedih rasa adik ni semenjak Februari tahun lepas bekerja di Kuala Lumpur datang dari Sabah cari rezeki. Sewa rumah bersama kawan dan adik ni tak lepas bayar sewa rumah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Menurutnya, remaja terbabit terpaksa tinggal merata sebelum akhirnya mampu mengumpul wang membeli tiket untuk pulang ke Sabah.
“Tapi ada masalah dokumen dan umurnya serta anak kecil yang tak sah taraf. Mendengar kisah hidupnya buat rasa sedih sangat. Teringat anak-anak perempuan kita sendiri.
“Ya Allah berat ujianmu adik dan bayinya. Wajah adik ni baik jer dan nampak lurus. Sopan dan baik. Anaknya comel,” katanya.
Ebit berkata, beberapa petugas di lapangan terbang cuba membantu remaja itu kerana dia tiada duit dan tidur di surau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sahaja.
“Di Sabah tinggal dengan neneknya yang hidup susah. Dengar ayah adik ini juga susah kerja tempat lain cari rezeki. Nampak wajahnya sangat sedih. Besarkan baby seorang diri.
“Saya pesan pada adik ini supaya percaya ada rahmat di sebalik semua yang terjadi dan jadi lebih kuat serta berjaya. Saya beri duit belanja untuknya Hari Raya ni dan belanja,” katanya.
Beliau kemudian membawa remaja berkenaan ke sebuah rumah perlindungan sementara bagi membantu dari segi dokumen dan laporan berkaitan.
“Semoga dipermudahkan segala urusannya. Semoga Allah beri kekuatan buat anak ni,” katanya. – Malaysiapost

