PELAKSANAAN proklamasi darurat membantu mengelak berlakunya pilihan raya sekali gus mencegah penularan Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia perlu mengambil ikhtibar kesan pilihan raya di India yang menyebabkan peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 di negara itu.
“Sebelum peningkatan mendadak, India telah melakukan lima pilihan raya yang menyebabkan jutaan orang terlibat dengannya.
“Kesan daripada itu, jangkitan Covid-19 di India merebak dan sukar dikawal. Darurat telah berjaya membantu negara kita mengelak berlakunya pilihan raya dan dapat mengekang penularan Covid-19,” katanya pada sidang media bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Dr Noor Hisham juga menafikan proklamasi darurat yang berlangsung ketika ini tidak dapat mengawal pandemik Covid-19.
Katanya, pengisytiharan darurat sebenarnya membantu pihaknya membuat penilaian mengenai penularan Covid-19, selain menghalang beberapa pilihan raya yang berisiko meledakkan jangkitan.
Menurutnya, Ordinan Darurat dapat mengelak berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
“Dengan menggunakan ordinan ini, kita boleh tangguh PRK dan PRN.
“Kita telah tengok bagaimana implikasi selepas PRN Sabah diadakan,” katanya. – Malaysiapost

