TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menggariskan tiga perubahan perlu dilakukan Umno untuk memastikan parti itu mampu bertahan lama dan kekal relevan.
Beliau berkata, Umno perlu berubah seiring dengan zaman serta tidak boleh lagi ‘terbuai’ dengan nostalgia ketika zaman kegemilangan parti itu.
“Ia mesti dilihat secocok dengan zaman. Jangan terus terbuai dengan nostalgia ketinggalan zaman. Hentilah cerita zaman gemilang sedangkan kedudukan semasa sangat bergelora dan tidak secerah dulu.
“Kedua, pendukungnya mesti pelbagai generasi (intergenerational). Perubahan generasi itu nyata dan mesti diterima.
“Idea dan pemikiran politik terbaik bukan lagi di ukur pada usia pengucapnya tetapi pada kualiti dan kebernasan idea tersebut,” kata dalam hantaran Facebook sempena salmbutan Ulang Tahun Umno ke-75.
Mohamad berkata, selain itu, nilai dan misi Umno mesti diperjuangkan oleh mereka yang ikhlas menghidup-hidupi parti itu dan bukan mereka yang mencari penghidupan dari Umno.
“Kepada seluruh pendukung Umno, terima kasih kerana masih bersetia walau dalam susah dan payah Umno kebelakangan ini.
“Insyallah dengan bekerja kuat, bersifat terbuka dengan idea dan pemikiran maju serta bersatu padu, Umno akan pasti menjadi lebih utuh dan baik. Allah, bantulah kami memelihara Umno ini dengan sebaiknya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, masa depan Umno itu rahsia tuhan namun ikhtiar melangsungkan parti itu adalah ikhtiar pendukungnya.
“Dalam segala kebaikan dan kelemahan Umno, kitalah karyawannya. Jika Umno terus ingin meraikan ulang tahunnya, tiga perkara penting itu mesti dilakukan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/11/zahid-yakin-umno-kekal-relevan-hingga-100-tahun/

