Gali lubang di lorong tikus

0
3

POLIS terpaksa menggali lubang di lima lorong tikus di sekitar Kampung Tanah Puteh di Gua Musang dalam usaha menghalang kenderaan rentas negeri melalui laluan itu memasuki Kelantan.

Tindakan luar biasa itu dilakukan berikutan kon konkrit yang diletakkan di laluan itu dipecahkan untuk merentas negeri melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata pihaknya menutup lorong tikus itu kerana sering dijadikan laluan kenderaan orang ramai bagi mengelak diperiksa dalam sekatan jalan raya (SJR) Kampung Tanah Puteh.

Katanya, selain menggali lubang dan menutup laluan, polis melakukan pemantauan serta rondaan di kawasan itu bagi memastikan tiada jalan lain dibina.

“Kami mengambil tindakan untuk menutup sepenuhnya lorong tikus bagi pengguna jalan raya yang cuba melepasi SJR.

“Jadi tindakan berterusan dan pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa supaya tiada pihak tidak bertanggungjawab cuba untuk melepasi daerah atau rentas negeri,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.

Sebelum itu, katanya, polis melakukan pemantauan di lima lorong tikus di kampung itu yang menjadi tumpuan pengguna untuk melepasi pemeriksaan di SJR.

Choon Foo berkata, aliran trafik memasuki Kelantan melalui SJR di Kilometer 7, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Kampung Tanah Putih didapati lengang.

Menurutnya, kebanyakan pengguna jalan raya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang aktiviti merentas daerah dan negeri.

“Walaupun sambutan Aidilfitri hanya dua hari lagi, laluan trafik di jalan utama untuk memasuki Kelantan masih lengang.

“Kami turut meningkatkan pemeriksaan kenderaan di sekatan itu dan di SJR Kilometer 3, Jalan Gua Musang-Cameron Highlands bagi memastikan tiada pemandu merentas negeri untuk pulang beraya,” katanya. – Malaysiapost 

Foto kredit Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here