“SAYA tak pernah dengar isu ini dalam Bersatu jadi saya rasa cerita-cerita begini sengaja dibuat untuk menarik perhatian kepada sebuah parti serpihan yang tidak berjaya menarik perhatian sesiapa setakat ini,” kata Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Ketua Penerangan Bersatu berkata demikian susulan dakwaan Pengerusi Pejuang Tun Dr Mahathir Mohamad wujud dalam kalangan pemimpin Bersatu menawarkan diri untuk ‘lompat’ ke Pejuang jika parti itu boleh ‘menandingi’ imbuhan sehingga RM70,000 sebulan yang diterima mereka ketika ini.
“Pandangan saya, kalau Pejuang benar-benar nak berjuang, maka berjuanglah dengan agenda yang unik.
“Tak payahlah asyik bercerita mengenai rumah lama sehingga nampak seolah-olah belum dapat ‘move on’ lagi. Apa kata kita sama-sama tumpukan tenaga untuk bantu Tan Sri Muhyiddin jaga rakyat,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Wan Saiful juga menggesa ahli Pejuang agar berfikir semula adakah dengan menyertai parti kecil seperti Pejuang telah menyebabkan bertambahnya perpecahan orang Melayu seperti yang diakui Dr Mahathir.
“Saya tertarik dengan pandangan Tun Mahathir bahawa PRU15 mungkin tak selesaikan masalah sebab banyak parti-parti kecil yang akan bertanding.
“Maksudnya. Tun sendiri faham bahawa kewujudan parti kecil seperti Pejuang hanya menambah perpecahan sahaja dan bukan penyelesaian kepada apa apa masalah pun.
“Jadi ada baiknya kawan kawan dalam Pejuang fikir semula adakah mereka nak jadi penyebab kepada perpecahan seperti yang Tun Mahathir katakan,” katanya. – Malaysiapost

