Jenaka rogol: PH Selangor tuntut pengetua sekolah dikenakan tindakan

0
1

AHLI Parlimen serta Adun Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil tindakan tegas kepada pengetua sebuah sekolah yang didakwa menulis komen negatif ke atas pelajar, Ain Husniza Saiful Nizam.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, gesaan itu dibuat berikutan sehingga kini, pengetua terbabit masih tidak menafikan perbuatannya itu dan turut memadamkan komen di laman Facebook bapa Ain Husniza, Saiful Nizam Abdul Wahab.

Menurut kenyataan itu, malah guru terlibat dengan jenaka lucah dan pelajar yang membuat ugutan rogol terhadap Ain Husniza juga masih belum menerima sebarang hukuman berat susulan tindakan mereka itu.

“KPM dalam maklum balasnya sebelum ini juga tidak merujuk kepada kes Ain namun hanya tertumpu kepada isu pemeriksaan haid ke atas pelajar.

“Kami mendesak KPM mengkaji semua sistem pendidikan dan mengambil tindakan tatatertib tegas ke atas pengetua sekiranya dia didapati menulis komen negatif tersebut,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, Ain Husniza telah dinafikan hak untuk menerima pendidikan di sekolahnya dan dia juga mungkin terpaksa berpindah ke sekolah lain selepas ini.

“Sekolah tersebut telah mengabaikan hak pendidikan Ain dan tidak memastikan persekitaran yang selamat untuk dia kembali ke sana,” katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan itu ditandatangani oleh 11 ahli Parlimen dan 27 Adun PH Selangor.

Dalam pada itu, mereka turut menggesa KPM mengembalikan semula nama baik institusi pendidikan di negara ini agar dapat mempertahankan reputasi mereka dan melahirkan lebih ramai rakyat kelas pertama.

“Akta Kesaksamaan Gender seperti dicadangkan oleh PH sebelum ini mesti dilaksanakan bagi memastikan anak-anak kita dilindungi,” katanya.

Ain Husniza sebelum ini menjadi perhatian apabila mendedahkan mengenai tindakan gurunya membuat jenaka lucah dan turut menerima ancaman rogol daripada pelajar sekolahnya susulan pendedahan terbabit.

Menerusi akaun Twitternya, @ant33ater semalam, Ain juga meluahkan kekecewaannya apabila pihak sekolah memberinya surat amaran selepas dia didakwa tidak hadir selama tiga hari.

Malah, Saiful Nizam turut menyiarkan tangkap layar di Facebook berkaitan komen yang katanya ditulis oleh seorang guru.

Wanita itu didakwa menggelar Ain Husniza sebagai munafik dan anak perempuan yang kurang ajar di satu poster forum dalam talian yang bertajuk ‘Speak Up!’.

Terdahulu, Malaysipost melaporkan Wanita Umno turut membidas sekeras-kerasnya tindakan dan tingkah laku pengetua sekolah berkenaan yang memperlekehkan pelajar, Ain Husniza kerana mendedahkan gurauan seks dalam pembelajaran serta telah diugut dengan ancaman rogol.

Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, tingkah laku dan tindakan pengetua sekolah berkenaan dalam komen hantaran yang dimuatnaik di Facebook atas nama “Aimanaizad Sarimahmohamednor” disifatkan tidak melambangkan keintelektualan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/09/jenaka-rogol-wanita-umno-bidas-tingkah-laku-pengetua/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here