Covid-19: Adakah ini talian hayat? – soal Zahid

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melontarkan persoalan adakah pandemik Covid-19 yang melanda negara ini menjadi talian hayat pihak tertentu.

Menurutnya, peningkatan jangkitan harian Covid-19 yang mendadak sejak akhir-akhir ini menunjukkan ia mungkin berlarutan sehingga saat akhir Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

“Saya tertanya adakah perkara seumpama ini akan dibiarkan berlarutan sehinggalah 9 Mei 2023. Maklumlah untuk memberi talian hayat,” katanya di Facebook, hari ini.

Bagaimanapu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak menyebut nama pihak tertentu yang beliau dakwa kemungkinan menggunakan pandemik Covid-19 sebagai ‘survival’ memenuhi agenda mereka.

Namun ianya dapat diteka persoalan itu dipercayai dilontarkan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Untuk rekod, Umno dan Barisan Nasional telah memutuskan kerjasama dengan PN ternoktah sehingga Ogos ini, selari dengan tarikh penamatan proklamasi darurat.

Tambah Ahmad Zahid, rakyat kini sudah mulai rasa bosan dengan beberapa langkah kerajaan yang dilihat tidak bersungguh-sungguh mengekang penularan musuh yang tidak boleh dilihat ini.

“Apabila orang ramai menggelarkan PKP seperti telur separuh masak, para menteri berasa marah. Marah sahaja tetapi tidak diambil pengajaran berlandaskan beberapa kali PKP, PKPB dan PKPP dilaksanakan.

“Di mana silapnya? Salah rakyat atau salah program vaksinasi yang perlahan? Patutkah kesalahan itu ditujukan pada rakyat sedangkan larangan rentas daerah sudah dikuatkuasakan? Adakah salah anggota polis tidak memperketatkan sekatan jalan?,” katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga menyifatkan tidak wajar menyalahkan rakyat di atas peningkatan mendadak kes Covid-19 ketika ini.

“Kita melihat Selangor terus mendahului senarai tertinggi iaitu 1,424 kes diikuti Sarawak sebanyak 750 kes. Pada 5 Mei 2021 laporan harian Covid-19 adalah 3,744 kes diikuti 3,551 kes pada 6 Mei 2021. Bagi tempoh dua hari berkenaan berlaku peningkatan sebanyak 754 kes dan 947 kes. Apa lagi yang boleh diperkatakan?

“Laporan kes harian Covid-19 pada 7 Mei 2021 mencatatkan peningkatan mendadak iaitu sebanyak 4,498 kes. Statistik ini tentunya sesuatu yang amat mendukacitakan apatah lagi PKP 3.0 sudah dilaksanakan sehari sebelumnya

“Tidak wajar ditujukan pada penguatkuasa kerana mereka sudah bermati-matian membendung penularan wabak sejak setahun lalu. Seringkali kita menuduh rakyat bawahan sebagai punca tetapi pernahkah kita terfikir kesalahan pemimpin?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here