KETUA Jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt meluahkan kekecewaan dengan jaringan ‘tangan tuhan’ ala Diego Maradona oleh Shukor Adnan, sekali gus mengikat keputusan seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City (KL City) FC dalam perlawanan Liga Super, malam tadi.
Gol Shukor yang didakwa menggunakan tangan untuk menyudahkan umpanan Paulo Josue pada masa kecederaan telah meranapkan impian UiTM meraikan kemenangan sulung musim ini.
Malah, pengendali dari Jerman berusia 51 tahun itu turut menyifatkan, pengadil perlawanan Mohd Shahrizan Mohamad Solihim tidak patut berada dalam Liga Super.
“Keputusan yang tidak bertuah, sangat-sangat tidak adil apa yang berlaku di sini kerana jaringan dilakukan dengan tangan. Pemain melompat dan menggunakan tangan untuk menyudahkan jaringan itu.
“Kita mempunyai video dan gambar juga, ia jelas bola terkena tangan dan tiada apa yang berlaku dan pengadil, bagi saya tidak boleh berada dalam Liga Super.
“Sangat mengecewakan kerana kami dalam situasi di penghujung perlawanan dan selepas itu gunakan tangan untuk menjaringkan gol dan tiada apa yang berlaku. Keputusan adalah keputusan, kita tidak boleh mengubahnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jaringan yang dilakukan Shukor, 41, mendapat perhatian netizen di media sosial dan ada yang memberikan jolokan Shukor sebagai jelmaan Maradona Malaysia.
Shukor juga telah mencipta rekod baru iaitu sebagai pemain paling berusia yang pernah melakarkan gol dalam Liga Super. – Malaysiapost

