Keputusan PKP Aidilfitri petang ini atau esok

0
1
Ismail Sabri

MESYUARAT Jawatankuasa Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) pagi tadi membincangkan kemungkinan mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Aidilfitri.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan mengenai perkara itu dijangka diumumkan pada petang ini atau selewat-lewatnya esok bagi memberi rakyat membuat persediaan sebaiknya.

“Jawatankuasa Teknikal MKN akan mengumumkan petang ini atau esok berhubung kemungkinan pelaksanaan PKP pada Aidilfitri ini,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pembukaan laluan jambatan ‘Compact Bailey 100’ Kampung Sungai Putat, Jerantut, hari ini.

Yang turut hadir, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Ismail Sabri mengulas adakah kerajaan berhasrat melaksanakan PKP secara menyeluruh memandangkan peningkatan kes baharu yang tinggi sejak kebelakangan ini dengan 4,498 kes baru semalam, selain kebimbangan masyarakat jika PKP menyeluruh dikenakan pada saat-saat akhir sebelum Aidilfitri minggu depan.

Beliau berkata, kerajaan tidak bercadang melaksanakan satu lagi PKP di seluruh negara setakat ini, sebaliknya meneruskan perintah itu secara bersasar.

Katanya, pelaksanaan PKP bersasar boleh dilakukan mengikut sistem Hotspots Identification for Dynamic Engangement (HIDE) yang boleh menunjukkan kawasan tertentu berlaku penularan kes besar (titik panas) COVID-19.

“Jika ada kawasan titik panas, kita akan buat PKP tetapi mengikut kepada kampung, mukim atau daerah yang mempunyai kes penularan banyak dengan skala paling kecil ialah PKP Diperketatkan (PKPD), namun ia masih secara bersasar setakat ini.

“Bagaimanapun, pelbagai kemungkinan boleh berlaku kerana mengikut data Kementerian Kesihatan (KKM), jika tiada kawalan kerajaan, kes boleh sampai sehingga lebih 5,000 selepas Aidilfitri dan boleh meningkat sehingga 10,000 kes pada Julai dan Ogos,” katanya.

Ismail Sabri juga mengesahkan MKN Pahang membuat permohonan supaya daerah Kuantan diletakkan di bawah PKP mengambil kira peningkatan kes positif di beberapa lokaliti di daerah itu sejak akhir-akhir ini, namun ia juga belum diputuskan.

Mengulas pembinaan jambatan berkenaan, Ismail Sabri berkata ia dibina selepas jambatan asal rosak akibat banjir teruk awal tahun ini, menyebabkan ia ditutup sepenuhnya pada 24 Mac lalu.

Keadaan itu menyukarkan hampir 1,000 penduduk Kampung Sungai Putat dan kawasan sekitar ke bandar dan ke sekolah yang terletak di Felda Padang Piol di Jerantut, menyebabkan mereka mengambil inisiatif membaiki sendiri jambatan dengan menggunakan batang pokok kelapa.

“Bagaimanapun, jambatan itu dilihat tidak selamat menyebabkan Tentera Darat Malaysia (TDM) menggerakkan dua Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) untuk melaksanakan pemasangan jambatan ‘Compact Bailey 100’ sepanjang 24 meter dengan lebar lima meter berjaya disiapkan dalam tempoh 17 jam pada 28 April lalu,” katanya

Kerja pemasangan jambatan yang boleh bertahan sehingga 20 tahun itu membabitkan dua pegawai dan 58 anggota RAJD dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan diselaras Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Jambatan itu adalah jambatan bailey ketiga dibina TDM di Pahang yang rosak akibat banjir, selepas di Kampung Lechar, Raub dan Kampung Belimbing, Maran selain sebuah di Kampung Belum Baru, Lenggong, Perak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here