PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat ini kerana pandemik Covid-19 masih belum pulih, tegas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berpendapat pilihan raya dalam masa terdekat dikhuatiri mengakibatkan wabak Covid-19 tidak dapat dikawal seperti berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tahun lalu.
“Jangan main-main dengan Covid-19 ini. Kita lihat apa berlaku ketika PRN Sabah lalu. Pada masa itu Sabah kurang kes Covid-19 tetapi bila ada pilihan raya seluruh Malaysia dijangkiti Covid-19.
“Orang pergi sana… kempen sana terdedah kepada Covid-19 dan dapat jangkitan. Jadi waktu ini kita tidak boleh anggap keadaan sudah dipulih untuk adakan pilihan raya dalam masa terdekat, kita mesti tangani masalah Covid-19 ini dahulu,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysiapost.
Menurutnya, jika pilihan raya diadakan juga, ia kelak akan menghasilkan kerajaan lemah kerana situasi politik tidak stabil ketika ini.
“Saya lihat banyak parti politik akan bertanding tiap-tiap kawasan pilihan raya dan akan ada ramai calon antara tiga hingga lima calon membabitkan parti-parti kecil.
“Parti ini tak boleh jadi dominan parti dan akhirnya akan cuba wujudkan gabungan selepas PRU dengan perlu ada rundingan tertentu dan akan letak syarat itu ini, kerana mereka tahu jika tarik diri kerajaan akan jatuh,” katanya.
Dr Mahathir berkata, keadaan itu seperti apa yang berlaku ketika ini di mana kerajaan sekarang masih kekal kerana mendapat sokongan daripada orang tertentu yang mereka tahu jika tarik sokongan, mereka akan turut jatuh.
Ditanya sama ada boleh kerajaan ditukar secara undi tidak percaya di Parlimen, beliau berpendapat perkara itu juga tidak akan menjamin masalah utama dihadapi negara ketika ini.
“Nak tukar kerajaan macam mana? Itu yang sedang kita teliti sekarang. Kalau kita nak tukar begitu sahaja pun tiada jaminan bahawa negara akan dipulihkan dan saya berpendapat bahawa negara sekarang sudah jadi begitu lemah dalam semua sudut dari segi politik, ekonomi dan sosial.
“Kalau kita nak tukar kerajaan bolehkah kita dapat satu kerajaan yang boleh mengatasi tiga masalah utama ini?,” soalnya.
Beliau berkata, apa yang penting adalah mencari jalan bagaimana pakar-pakar yang mungkin orang di luar daripada kerajaan dapat memainkan peranan untuk mengatasi masalah berkenaan.
“Saya biasa dulu mencadangkan satu kerajaan non-parti atau kerajaan nasional, kita boleh ambil orang yang bukan ahli politik masuk dalam kerajaan tetapi cadangan saya itu ditolak,” katanya.
Ditanya berdasarkan pengalamannya mentadbir negara sebelum ini apa tindakan yang akan diambil untuk menangani masalah dihadapi negara ketika ini, Dr Mahathir berpendapat perlunya penubuhan satu badan khas.
“Saya fikir kekuatan saya adalah banyak idea, banyak cara untuk mengatasi masalah… masa saya jadi Perdana Menteri dulu pun saya mengatasi banyak masalah, benda yang tak boleh buat kita fikir macam mana nak buat dan kita berjaya buat sehingga serangan mata wang oleh pelabur asing, IMF, Bank Dunia pun kita kena fikir macam mana nak buat.
“Kalau kita tiada rundingan dengan pakar dan bincang cara nak atasi masalah, kita tidak boleh atasi masalah kerana seorang sahaja tidak boleh dan empat lima orang pun kadang-kadang tak boleh sebab itu kita kena ada satu badan yang disertai oleh pakar dalam bidang tertentu mungkin bukan ahli politik, mungkin ahli politik, tetapi mesti ketepikan kepentingan parti fikir tentang kepentingan negara,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

