BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusannya melantik Tan Sri Abdul Hamid Bador sebagai Ketua Polis Negara (KPN) sewaktu masih memimpin kerajaan.
Menurutnya, pemilihan Abdul Hamid kerana beliau yakin bekas KPN itu mempunyai keupayaan untuk memulihkan imej polis yang terpalit penyelewengan dan rasuah.
“Sebelum dia bersara saya jumpa dengan dia… Dia kata dalam polis banyak penyelewengan banyak rasuah dia orang nombor dua dalam cawangan khas. Jadi dia sepatutnya dilantik ketua cawangan khas, tapi dia tak mahu kerana ada banyak penyelewengan, rasuah.
“Jadi saya berpendapat tak ramai orang sanggup berhenti awal walaupun ada peluang untuk naik pangkat, (tapi) bila dia buat mcm tu saya fikir dia akan jalankan tugas dengan baik.
“Sebab itu walaupun dia junior, walaupun dia sudah bersara saya panggil dia balik untuk jadi IGP,” katanya dalam wawancara Sudut Pandang bersama Malaysiapost, semalam.
Abdul Hamid tamat kontrak sebagai ketua polis negara pada 3 Mei lalu dan jawatannya disandang Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Beberapa hari sebelum bersara, menerusi sidang media Abdul Hamid membuat pendedahan berhubung kait dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Bekas KPN memberitahu terdapat campur tangan menteri berkenaan dalam urusan pentadbiran polis, selain mendakwa Hamzah cuba menyalahgunakan polis bagi kepentingan politik.
Sementara itu, Dr Mahathir memuji penyelewengan dalam polis cuba dibanteras sebaik mungkin di bawah kepimpinan Abdul Hamid.
“Selama dia IGP ramai juga pegawai polis kena tangkap kerana rasuah, dulu tak pernah jadi.Ini mungkin tak banyak rasuah (dulu) sekarang kita tahu banyak rasuah,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata campur tangan menteri dalam pentadbiran polis tidak sepatutnya berlaku.
“Itu tak patut berlaku dulu pun saya dengan IGP baik, hubungan kita baik bukan kata kita nak kuasai dia.
“Jadi, hubungan antara IGP dengan menteri baiklah, dengan syarat menteri jangan salah guna kuasa.
“Ini yang berlaku orang yang tak sesuai dipilih Hamzah dan dia nak paksa semua orang dia (dipilih) itu tak bolehlah,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

