Bersatu tiada akar umbi, tidak boleh menang PRU – Isham

0
1
isham jalil

Nurul Huda Abhar

BERSATU tidak mempunyai akar umbi justeru, parti itu tidak mempunyai kekuatan politik dan sokongan rakyat untuk menang pilihan raya, kata Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil.

Menurutnya, apa yang ada pada Bersatu hanyalah jawatan dan sumber kerajaan yang diperolehi melalui pintu belakang dengan melompat parti.

Bagaimanapun, katanya jawatan dan sumber tersebut tidaklah memadai untuk menang Pilihan Raya Umum (PRU).

“Terutamanya apabila mereka (Bersatu) kini terpalit dengan pelbagai masalah seperti prestasi buruk dalam menangani krisis Covid-19 dan ekonomi, persepsi rakyat yang negatif terhadap pengkhianat mandat rakyat dan pelompat parti, menipu dan tidak menunaikan janji dan manifesto pilihanraya, kes-kes dan skandal pemimpin-pemimpin Bersatu yang terlepas apabila melompat parti, dan sebagainya.

“Kesan negatif di atas tidak sahaja kena kepada mereka, malah mereka juga akan mengheret parti-parti yang menyokong dan bergabung dengan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) menjadi senasib dengan mereka apabila rakyat menghukum mereka dalam pilihanraya nanti.

“Tidak ada orang atau parti yang rasional yang akan memikul Bersatu dalam PRU-15 nanti untuk tenggelam bersama. Sebab itu Umno telah membuat keputusan tidak akan bersama Bersatu dalam PRU akan datang,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Beliau juga memuat naik tangkap layar laporan kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu ‘Bersatu akan tewas jika Umno tanding semua kerusi’.

Semalam, menerusi wawancara Sudut Pandang bersama Malaysiapost, Dr Mahathir mendakwa Bersatu tidak akan menang dalam PRU-15 selepas Umno menarik semula sokongannya kepada parti itu.

Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berpendapat besar kemungkinan Bersatu akan kalah kerana perlu bertembung dengan Umno di setiap kawasan pilihan raya.

Menurutnya, apabila Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan membuat kenyataan bahawa Umno akan bertanding di semua kerusi termasuk yang disandang Bersatu, maka kedua-dua parti akan bertembung dalam PRU-15.

Sementara itu, Isham berkata, Bersatu adalah parti kecil tetapi dengan sikap ego akan membuatkannya terhimpit di tengah dua gergasi iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Kata Isham, Bersatu yang ditubuhkan semata-mata untuk menjatuhkan BN dan Datuk Seri Najib Razak akan terkubur selepas PRU-15.

“Parti Pejuang Mahathir pun akan mengalami nasib yang sama.

“Inilah sebahagian kifarah yang mungkin mereka perlu bayar kerana telah memfitnah dan kerana telah mengkhianati mandat rakyat sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here