TUN Dr Mahathir Mohamad mendakwa Bersatu tidak akan menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas Umno menarik semula sokongannya kepada parti itu.
Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berpendapat besar kemungkinan Bersatu akan kalah kerana perlu bertembung dengan Umno di setiap kawasan pilihan raya.
Menurutnya, apabila Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan membuat kenyataan bahawa Umno akan bertanding di semua kerusi termasuk yang disandang Bersatu, maka kedua-dua parti akan bertembung dalam PRU15.
“Jadi gabungan mereka itu tidak bermaknalah, sepatutnya ada agihan kerusi. Besar kemungkinan Bersatu akan kalah, jadi bila kenyataan itu dibuat saya tulis kepada semua ahli Bersatu dalam kerajaan yang jadi menteri.
“Saya kata pilihan raya akan datang kamu akan kalah kerana Umno tidak sokong kamu, jadi lebih baik balik kepada asal tetapi mereka jawab mereka menteri dan dapat gaji RM70,000 sebulan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Malaysiapost di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Ditanya pendirian Pejuang dalam PRU akan datang, Dr Mahathir mengatakan ia akan menjadi kuasa ketiga dalam politik negara.
“Kita (Pejuang) akan terus sebagai Blok ketiga. Kita nak jadi ‘the 3rd force’ dan tidak mahu ikat diri kita dengan gabungan sedia ada baik gabungan Pakatan Harapan (PH) ataupun PN, kita tidak mahu masuk.
“Kita mungkin ada pakatan dengan parti yang sependapat dengan kita macam Warisan dan Muda umpamanya,” katanya.
Menurutnya, pakatan itu diharap akan dapat menang banyak kerusi.
“Saya berpendapat bahawa dua-dua gabungan (PH dan PN) yang ada tidak akan dapat cukup bilangan kerusi untuk tubuh kerajaan
“Mungkin ada gabungan dapat majoriti tetapi tidak sampai 50 peratus untuk buat kerajaan,” katanya.
Dr Mahathir berkata, ketika itu Pejuang akan memilih sama ada ingin sertai PN atau PH, tetapi syaratnya mereka mestilah terima dasar ditetapkan. – Malaysiapost

