PEGUAM Kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla menegaskan kompaun RM3,000 yang dikenakan ke atas Datuk Seri Najib Razak tidak menggugurkan kerusinya sebagai Ahli Dewan Rakyat Pekan.
Jelasnya, kompaun tidak termasuk sebagai sebab menggugurkan kerusi Dewan Rakyat, ianya di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan kerana tiada sabitan dan denda di mana-mana mahkamah.
“Melainkan ada apa-apa perkembangan atau tindakan lanjut oleh pihak berkuasa untuk membawa Najib ke mahkamah di atas apa-apa pertuduhan jenayah berkaitan fakta kesalahan ini,” katanya menerusi Facebook.
Beliau mengulas perkara tersebut bagi menjawab persoalan seorang rakan Facebooknya, Zaara Zia berkaitan perkara berkenaan.
Media hari ini melaporkan bekas Perdana Menteri itu dikenakan kompaun RM3,000, manakala pengurus restoran nasi ayam dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 pada 20 Mac lalu. -Malaysiapost

