KERAJAAN Selangor tidak akan mendapat bekalan vaksin untuk penduduk negeri itu daripada pembekal, selagi keperluan Kerajaan Persekutuan tidak dipenuhi.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata kerajaan negeri bercadang membeli vaksin secara terus dengan pembekal.
“Sebab mereka (pembekal) tak dapat bekalkan sepenuhnya kerajaan pusat, mereka tak boleh bekalkan kepada Selangor.
“Secara umumnya kita nak tangani pandemik, (tapi) vaksinasi tak dapat dibincangkan oleh pakar-pakar, ahli politik kerana tidak dapat masuk Parlimen.
“Semua tidak telus sekarang,” katanya pada sidang media Pandemik & Vaksinasi, Perlukah Darurat? yang dikendalikan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.
Januari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata kerajaan negeri akan membeli 5 juta vaksin untuk kegunaan rakyat negeri itu.
Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata adalah tidak adil jika Selangor diletakkan negeri paling ramai dijangkiti Covid-19.
Ini kerana katanya, dalam menilai penyakit berjangkit, ia perlu mengambil kira populasi dan kepadatan penduduk.
“Jika diukur berdasarkan 100,000 penduduk jumlah jangkitan Covid-19 paling tinggi direkodkan di Kelantan.
“Kami dengan segala rendah hati mengakui angka kes di Selangor tinggi. Apa pun sifat penyakit berjangkit, ia berkait dengan populasi, kepadatan penduduk,” katanya. – Malaysiapost

