Nurul Huda Abhar
PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 42, mengakui reda dengan isu majlis tahnik putera sulungnya, Muhammad Afwa yang didakwa melanggar prosedur operasi standard, baru-baru ini.
Menerusi entri di Insta Story miliknya, penyanyi lagu Anta Permana itu memberitahu dia berpegang kepada kata-kata seorang ustaz yang mana apabila diuji dengan ujian, individu tersebut akan dibalas dengan pahala yang berganda.
“Alhamdulillah, saya patut tengah seronok ni, kumpul pahala banyak-banyak sepuluh malam terakhir ni.
“Kata ustaz bila berhadapan dengan dugaan ni.. Betullah ustaz, dapat pahala free berganda-ganda pula tu. Alhamdulillah,” tulisnya semalam.

Sebelum ini, Siti Nurhaliza dihujani kecaman netizen selepas didakwa menjemput beberapa pendakwah bebas dari negeri lain ke majlis tahnik anak lelakinya.
Bagaimanapun, menerusi kenyataan kelmarin, penyanyi nombor satu negara itu memaklumkan tiada sebarang aktiviti rentas negeri berlaku pada majlis tahnik berkenaan.
Semalam, lapan individu termasuk penganjur majlis tahnik itu dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, kesemua individu berkenaan hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk proses dirakamkan percakapan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

