PH tegur KPM lambat keluar makluman kedudukan sekolah kawasan PKP

0
1

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) digesa segera mengeluarkan makluman berhubung kedudukan sekolah dalam kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.

Jawatakuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH), berkata ia susulan pengumuman kerajaan mengenakan PKP di enam daerah di Selangor semalam, sekali gus tidak membenarkan sebarang aktiviti sosial.

“Namun sehingga hari ini, KPM masih belum memaklumkan tentang kedudukan sekolah-sekolah dalam kawasan yang dikenakan PKP mulai 6 Mei 2021.

“Adakah sekolah-sekolah di bawah kawasan PKP akan ditutup serta-merta atau ia akan diteruskan sehingga cuti Hari Raya bermula?,” soal jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan bersama itu membabitkan Dr Maszlee Malik merangkap Pengerusi Jawatan Kuasa Pendidikan PH; Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR); Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom (Amanah.)

Mereka berkata, pengumuman dengan kadar segera itu perlu dilakukan KPM memandangkan ada sekolah yang sedang melangsungkan Peperiksaan Pertengahan Tahun.

Katanya, pengumuman awal daripada KPM akan memudahkan urusan pihak sekolah menyusun semula jadual peperiksaan dan mengekalkan fokus para murid.

“Selain itu, pengumuman awal ini akan membantu pihak ibu bapa menyusun semula pengurusan keluarga mereka memandangkan jika sekolah ditutup pastinya ibu bapa perlu mencari siapa yang akan menjaga anak mereka,” katanya.

Sementara itu, mereka turut mempersoalkan bagaimana proses pergerakan murid yang akan pulang ke rumah dari asrama masing-masing.

“Kedudukan tutup atau buka sekolah ini menyebabkan proses pergerakan murid pulang ke rumah masing-masing juga kabur.

“Adakah ibu bapa perlu mengambil anak mereka dari asrama akan diberikan pelepasan merentas daerah dan negeri sempena pelaksanaan PKP kali ini memandangkan PKP kali ini dikuatkuasakan di musim perayaan?,” katanya.

Mereka berkata, jika kerajaan membenarkan ibu bapa mengambil anak-anak mereka, pihaknya mencadangkan supaya hanya pihak sekolah sahaja mengeluarkan surat makluman pengambilan pelajar di asrama sebagai bukti merentas daerah dan negeri.

“Penggunaan surat makluman itu membolehkan ibu bapa tidak perlu hadir ke balai polis untuk mendapatkan kelulusan rentas daerah dan negeri memandangkan ia mengambil masa yang lama.

“JK Pendidikan Pakatan Harapan menyeru supaya KPM lebih bersikap proaktif dalam memaklumkan tentang pelbagai isu yang berbangkit bagi memudahkan urusan sekolah, murid dan ibu bapa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here