“JANGAN buat kenduri dan majlis kahwin pada Aidilfitri ini! Demikian ingatan kerajaan Kelantan kepada penduduk negeri itu dalam usaha membendung penularan Covid-19 sepanjang musim perayaan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata apa juga majlis keraian tidak dibenarkan sama sekali sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa di negeri itu.
Sehubungan itu, beliau berharap penduduk Kelantan dapat memberi kerjasama penuh dalam memutuskan rangkaian Covid-19.
“Saya ingatkan kepada semua bahawa sepanjang tempoh PKP, tiada sebarang majlis dibenarkan termasuk majlis perkahwinan.
“Mereka yang ingkar akan dikenakan tindakan sewajarnya. Saya mohon patuhilah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Bila polis mengambil tindakan undang-undang, rakyat marah namun pada masa sama mereka melanggar SOP,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Sementara itu Dr Izani berkata, kepatuhan SOP di Kelantan setakat ini masih lemah dari segi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.
“Apabila saya buat tinjauan di gerai di tepi jalan, saya sedih kerana ramai lagi yang memandang ringan dengan penjarakan fizikal dan pelitup muka.
“Tidak kira sama ada pengunjung atau peniaga, kebanyakan mereka hanya meletakkan pelitup muka di dagu,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: raniocanopy

