RAKYAT Malaysia diingatkan supaya berhati-hati dalam pelaburan saham dan tidak melabur melepasi batas kemampuan sendiri.
Peringatan itu diberikan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak mahu peristiwa kegawatan ekonomi pada 1997 – 1998 berulang kembali dan ramai orang terperangkap.
Menurutnya, ketika ini pelabur asing terus mengeluarkan dana mereka dari Malaysia hampir setiap minggu dalam tahun 2021 ini.
“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dana asing asyik masuk. Selepas PRU14 pula, dana asing mengalir keluar setiap tahun – iaitu dari Mei hingga Disember 2018, tahun 2019 dan tahun 2020.
“Tahun lalu, aliran keluar dana asing dari pasaran saham sekitar RM25 bilion.Trend ini berterusan tahun ini.
“Minggu lepas, RM376.5 juta keluar. Minggu sebelum itu, RM490.3 juta lari. Setakat minggu lepas, pelabur asing telah tarik keluar RM2.87 bilion manakala institusi pelaburan tempatan keluarkan RM3.14 bilion,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Najib berkata, hanya pelabur runcit iaitu orang ramai yang melabur membabitkan RM6.01 bilion tahun ini.
“Saya sedar dan faham ramai warga Malaysia sudah ada minat dan telah melabur dalam saham tempatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 bermula tahun lalu susulan wang berlebihan dari i-Lestari, i-Sinar dan moratorium pinjaman.
“Tapi perlu ingat bahawa kedua-dua pelabur asing dan pelabur institusi tempatan sedang menjual. Yang membeli cuma pelabur runcit.
“Sebab itu, saya ingin nasihatkan orang ramai untuk lebih berjaga-jaga agar peristiwa tahun 1997-1998 berulang dan ramai orang biasa terperangkap,” katanya.
Menurutnya, orang ramai bukan tidak boleh melabur, tetapi perlu melabur dengan berhati-hati dan tidak melepasi batas kemampuan sendiri.
Katanya, jika sudah ada untung, laburlah dalam saham-saham cip biru yang lebih stabil dan selamat untuk jangkamasa panjang.
“Sebab saya juga yang pernah cadang i-Sinar, i-Lestari dan moratorium dan saya tidak ingin ada orang kata ‘ini salah Najib’ sekiranya ada sesiapa yang kerugian saham pada masa kelak,” katanya. – Malaysiapost

