SEORANG lelaki yang mempunyai 28 orang anak hasil perkahwinan dengan empat isteri, hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan di dua rumah sewa yang sempit dan kecil.

Seorang sukarelawan, Nurul Ima Rahman mendedahkan perkara itu susulan kunjungannya menemui sebuah keluarga berkenaan untuk menghulurkan bantuan makanan.

Beliau berkata, anak sulung dari keluarga itu telah melarikan diri berkemungkinan tidak tahan dengan situasi mereka dan sehingga kini masih tidak dapat dikesan.
Katanya, dua rumah itu dibayar pusat zakat dengan masing-masing isteri mempunyai bilik namun anak-anak berselerakan tidur kecuali anak perempuan diberikan sebuah bilik kongsi.
“Anak 28 orang. Anak sulung 20-an sudah lari tinggalkan keluarga, tinggal adik berderet-deret dan paling bongsu umur setahun. Isteri keempat sedang mengandung lagi.
“Menyewa dua buah rumah yang sempit, zakat bayarkan sewa. Satu rumah ada dua buah bilik. Satu bilik, milik setiap isteri. Anak-anak tidur mana? Berselerakan di dalam rumah asalkan masih di bawah bumbung. Katanya anak-anak perempuan di dalam bilik. Harap-harap lah betul,” katanya.
Katanya, tambah menyedihkan apabila sikap bapanya yang seolah-olah tidak mempedulikan pendidikan untuk anak-anak.
“Anak-anak semua tidak sekolah. Kata bapanya tiada transport nak hantar. Dulu pernah orang kebajikan bantu sewakan van untuk anak-anak. Tapi anaknya keluar tak mahu duduk di dalam kelas. Bapanya kata anak-anak mempunyai minda usahawan dan genius. Umpama burung, tak suka terkurung.
“Ini kali kedua kami menjejakkan kaki ke rumahnya. Pukul 12 tengahari, kami mengetuk pintu kuat, hampir lima minit baru dibuka kerana isi rumah baru bangun tidur. Lima minit pula perlu tunggu untuk dipelawa masuk sebab masing-masing kelam kabut kemas rumah. Maaflah rumah bersepah sikit,” tulisnya.
Sehubungan itu, beliau menawarkan kepada bapa tersebut tentang sekolah tahfiz yang boleh menempatkan anak-anaknya namun dia enggan menerima.
Bahkan, menurutnya, lelaki itu tidak tetap pendirian apabila pada mulanya mahu menghantar anak-anaknya di Pondok Pasir Tumboh di Kelantan tetapi kemudiannya berubah fikiran pula ke sekolah kerajaan.
Justeru, katanya, beliau risau terhadap nasib anak-anak itu tanpa pendidikan.
“Allahu. Saya fikir kalaulah anak-anak ini duduk di madrasah sudah tentulah ada makan minum, ada tempat beribadat sempurna, boleh tidur dengan selesa.
“Maaf. Saya tak berniat untuk kongsikan benda negatif, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadaan ini. Kalau anda ada cara sesuai untuk bantu anak-anak ini dapat pelajaran dan nilai hidup yang lebih baik. Mohon bantuan. Sedih lihat wajah mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Nurul Ima sudah memadamkan posting tersebut dan memohon maaf kerana tiada niat untuk menularkan kehidupan keluarga terbabit.
Terbaharu, hasil perkongsian cerita berkenaan terdapat beberapa individu termasuk NGO sudi menghulurkan bantuan kepada keluarga itu.
“Alhamdulillah. Asbab post siang tadi, public figure dan beberapa lagi NGO menghubungi sis dan sudi hulurkan bantuan buat anak soleh dan solehah. Insha-Allah kita support takat mana yang boleh.
“Jadi sis take down post tersebut. Bukan intention sis untuk viral pun. Buat anak-anak mungkin hari ni kamu semua rasa malu. Tapi suatu hari nanti, kamu akan bebas keluar dari kepompong dunia itu, kamu akan lihat dunia yang lebih indah.
“Yang tidurnya selesa, makannya cukup, dan boleh ketawa seronok mencari ilmu bersama kawan-kawan. Sis anggap kamu semua macam adik atau anak-anak sendiri. Satu hari nanti kamu semua akan faham,” katanya. – Malaysiapost

