Anak sulung cekik, tetak ibu hingga mati

0
1
grafik

SEORANG lelaki mencekik sebelum menetak ibunya hingga mati dengan parang dalam kejadian di Kampung Pesagi, Maran minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi pada 29 April lalu itu, mangsa berusia 55 tahun ditemui oleh ahli keluarga dalam keadaan berlumuran darah selain kesan tetakan pada dahi, mulut, perut dan tangan kanannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nayan berkata, suspek berusia 39 tahun yang baru keluar penjara atas kesalahan dadah telah ditangkap di lokasi kejadian pada hari sama.

Menurutnya, soal siasat awal mendapati, suspek mengaku menggunakan parang untuk menetak mangsa selepas berhalusinasi dan mendengar bisikan suara halus memintanya berbuat demikian.

“Suspek memberi kerjasama dengan menunjukkan parang yang digunakan dan pakaian dipakainya semasa kejadian. Semua barang bukti itu telah dirampas.

“Semakan juga mendapati, suspek baru selesai menjalani hukuman penjara pada Mac lalu atas kesalahan dadah dan ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif methamphetamine,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Menurutnya, mangsa adalah seorang balu dan mempunyai sembilan anak dan tinggal di rumah berkenaan bersama seorang cucu lelaki berusia 10 tahun, manakala suspek adalah anak sulungnya.

Othman berkata, mangsa dibawa ke Klinik Chenor oleh ahli keluarga bagi mendapatkan rawatan, namun pegawai perubatan mengesahkan wanita berkenaan meninggal dunia pada jam 2.10 pagi.

“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat luka disyaki akibat tetakan objek tajam pada bahagian dahi, mulut, perut dan tangan kanan.

“Bedah siasat ke atas mangsa oleh Pakar Patologi Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh, Jumaat lalu mendapati punca kematian disebabkan trauma berganda akibat objek tajam,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian mangsa sedang tidur bersama cucunya dalam sebuah bilik sebelum suspek datang menyerang dengan mencekik mangsa menyebabkan wanita itu mengarahkan cucunya untuk melarikan diri.

“Cucunya dapat melarikan diri dan mendapatkan bantuan daripada anak perempuan mangsa yang tinggal bersebelahan lalu bergegas ke rumah itu namun tidak berani masuk kerana suspek berada di tepi pintu memegang parang.

“Difahamkan anak mangsa itu menghubungi adik beradik lelaki lain untuk memaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya.

Othman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek direman sehingga 5 Mei ini bagi membantu siasatan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here