TEMPAHAN slot vaksin AstraZeneca (AZ) yang dibuka bermula jam 12 tengah hari tadi habis hanya dalam tempoh kira-kira tiga jam sahaja.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kesemua slot untuk vaksin itu sudah habis ditempah namun orang ramai masih boleh memohon sebagai senarai menunggu.
“Semua slot tempahan AZ sudah penuh. Maaf atas gangguan awal dan perlu ‘refresh’ beberapa kali.
“Anda masih boleh klik pada kotak kelabu untuk diletakkan dalam senarai menunggu bagi tempoh dua jam,” katanya menerusi Twitter hari ini.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, janji temu akan diberikan segera melalui aplikasi MySejahtera atau khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada yang berjaya membuat tempahan.
Khairy menerusi kenyataan semalam memberitahu permohonan melalui laman web vaksincovid.gov.my itu hanya memerlukan pendaftaran dan dibenarkan untuk memilih tarikh serta Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang tersenarai.
Bagaimanapun, ia hanya terbuka kepada PPV di Kuala Lumpur dan Selangor, dan terhad kepada siapa yang cepat.
PPV yang tersenarai ialah di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaaan Malaysia, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam. – Malaysiapost

