Kerajaan akan guna PKP bersasar, tiada PKP 3.0 – Ismail Sabri

0
1

KERAJAAN seboleh mungkin akan menggunakan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara bersasar sahaja dan bukannya secara keseluruhan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia bagi bertindak adil kepada kawasan atau negeri yang tidak mempunyai kes Covid-19 yang tinggi.

“Seperti yang kita umumkan bahawa kalau berlaku kes di satu-satu kawasan kita akan buat PKP secara bersasar

“Contohnya seperti berlaku di Kelantan yang bermula dengan tujuh daerah, selepas itu tambah lagi dan akhirnya semua daerah menjadi zon merah.

“Jika wabak Covid-19 hanya merebak di kawasan tertentu sahaja ia akan dikawal secara bersasar kecuali bila sudah merata dan tiada tempat nak disasar baharulah akhirnya dibuat PKP keseluruhan,” katanya kepada Malaysiapost.

Beliau mengulas mengenai khabar angin yang mengatakan PKP 3.0 akan diumumkan minggu depan.

Sementara itu, Ismail Sabri turut menasihati orang ramai yang mempertikaikan keputusan kerajaan tidak membenarkan rentas negeri supaya memahami tindakan diambil adalah untuk menjaga kepentingan semua.

“Kita tidak boleh jaga kepentingan beberapa individu tertentu sahaja tetapi keseluruhan dan apa yang dilakukan adalah untuk nyawa mereka.

“Kita tidak mahu jadi seperti India. Negara itu sudah macam diisytiharkan berjaya oleh ahli politik mereka tetapi kemudian SOP diabaikan, hari ini sudah lebih 350,000 sehari,” katanya

Beliau berkata, perkara itulah yang kerajaan cuba sekat daripada berlaku dan tanggungjawab kerajaan adalah menjaga kepentingan rakyat terutama nyawa.

“Walaupun nampak keras tetapi ia atas niat baik kerajaan. Suatu hari nanti mereka akan menghargai apa yang dilakukan kerajaan dan itu harapan kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here