Persenda Mufti dengan perkataan tidak beradab dicela syarak

0
1

YANG Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan hari ini menyelar tindakan segelintir individu yang serta mempersenda dengan perilaku dan perkataan yang tidak beradab terhadap mufti.

Beliau berkata, mufti bukan sahaja memiliki authoriti, malah mempunyai kepakaran didalam bidangnya dan ia adalah satu institusi yang sangat penting di dalam struktur pelaksanaan dan rujukan Syariat Islam.

“Tidak mengapa untuk berbeza pendapat dengan mufti jika di sana anda mempunyai hujjah bersandar nas yang jelas dan benar.

“Namun menidakkannya serta mempersenda dengan perilaku dan perkataan yang tidak beradab adalah suatu yang keterlaluan dan dicela pada syara’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasrudin Hassan berkata demikian susulan tindakan individu tertentu mengeluarkan kata-kata tidak beradab terhadap Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah susulan isu hukum merentas negeri dikeluarkan semalam.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, Mufti adalah pakar dalam bidang syariah atau agama Islam dan mereka selayaknya dihormati.

“Sebagaimana kita menghormati urusan kesihatan apabila ia diungkap oleh doktor pakar. Kita menghormati urusan kewangan apabila ia diungkap oleh Pakar Ekonomi.

“Persoalannya kenapa kenyataan mufti tidak dinilai sekurang-kurangnya dengan beradab, sekalipun tidak mahu menerima pendapatnya,” katanya.

Lebih malang, kata Nasrudin, ada yang lantang mempertikai dengan nada yang lancang dan tidak manis adalah dari kalangan mereka yang tidak mendalami ilmu agama.

“Selayaknya, jika mereka gagal memahami sesuatu kenyataan yang melibatkan hukum dalam sesuatu isu, hendaklah mengambil sikap bertanya, merujuk kembali kepada pejabat mufti.

“Kalaupun mahu berkhilaf dengan nas Islam yang sangat luas ini, biar lah ahli ilmu yang membahaskannya dalam kerangka adab ikhtilaf yang telah didisiplinkan dalam fiqh Islam.

“Apakah negara kita kini semakin menjunam indeks akhlak dan adab terhadap institusi agama?,” soalnya.

Nasrudin berkata, tiada menjadi kesalahan untuk berbeza pendapat dengan mana – mana ulamak atau mufti, andai pihak berkenaan mempunyai hujjah yang bersandarkan nas yang jelas dan benar.

“Namun khilaf lah dalam suasana yang harmoni, bukan memencak dan mencemuh laksana para juhala’ yang tidak punya hidayah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here