PENGANALISIS politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff membuat laporan polis berhubung satu hantaran di Facebook bertajuk ‘Wayang Opera Cina DAP sekali lagi’.
Beliau mendakwa, penyebaran hantaran berkenaan dibuat melalui akaun Facebook palsu yang menggunakan namanya.
“Ketika hantaran itu dilakukan, Facebook saya telah disekat dan tidak dibenarkan membuat sebarang hantaran atau komen selama 24 jam kononnya kerana ada aduan bahawa hantaran saya sebelum ini yang melanggar ‘Community Standards Facebook’.
‘Bila akaun Facebook saya dibebaskan dari hukuman ini, iaitu kira-kira jam 6.30 petang pada 28 April lalu, saya telah memuat naik satu posting bagi menafikan pernah membuat sebarang posting yang mempertikaikan Raja Muda Perlis.
“Begitupun, kira-kira jam 9 malam hari sama, sekali lagi akaun Facebook saya dihukum denda tidak dibenarkan membuat sebarang posting atau komen selama tiga hari kononnya kerana ada aduan bahawa posting saya yang menafikan bahawa saya pernah membuat sebarang komen yang mempertikaikan Raja Muda Perlis ini melanggar ‘Community Standards Facebook’,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu berkata, perkara itu menjadi fitnah terhadap dirinya, keluarga dan UUM sehingga timbul ancaman keselamatan kepada mereka.
“Ekoran fitnah besar ke atas saya ini, saya, keluarga dan institusi tempat saya bekerja, iaitu UUM, telah bertubi-tubi dikecam, dihina dan dimaki pelbagai pihak sehingga menimbulkan gangguan keselamatan kepada kami.
“Justeru, saya berpendapat kesemua mereka yang telah membuat dan menyebarkan posting Facebook palsu saya yang bertajuk ‘Wayang opera Cina DAP sekali lagi?’ serta mereka yang telah menggesa, membantu dan membuat laporan polis ke atas saya berdasarkan posting Facebook palsu ini, telah melakukan jenayah serius, termasuk memfitnah dan membuat laporan polis palsu,” katanya.
Beliau turut meminta pihak bertanggungjawab menyiasat sebuah portal yang menyiarkan berita fitnah yang sama semalam. – Malaysiapost

