Pinda akta wajibkan tentera berkhidmat 21 tahun – Ismail Sabri

0
1

KEMENTERIAN Pertahanan dalam perancangan meminda Akta Angkatan Tentera 1972 bagi mewajibkan semua tentera berkhidmat selama 21 tahun untuk membolehkan mendapat pencen.

Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ketika ini dalam akta berkenaan tentera diberi pilihan berkhidmat antara 12, 15, 18 dan 21 tahun.

Menurutnya, bagi yang memilih tempoh perkhidmatan kurang daripada 21 tahun tidak mendapat pencen selepas bersara dan sering timbul masalah.

“Sebagai contoh selepas 12 tahun mereka ingin berhenti untuk menjalankan perniagaan atau pekerjaan lain dan mungkin perniagaan tidak menjadi atau kehilangan pekerjaan dan mereka tiada pencen.

“Mereka yang berkhidmat 21 tahun sahaja dapat pencen, jadi kita berbincang semua anggota tentera kita mahu mereka dapat kerana bila berpencen sekurang-kurangnya kalau tidak berjaya dalam perniagaan dan sebagainya mereka mendapat sumber kewangan daripada pencen,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perjumpaan dan Dialoq Bersama Persatuan-Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Dewan Perkasa, Wisma ATM, Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Ismail Sabri berkata, biasanya tentera mula berkhidmat pada usia yang muda antara 18 hingga 20 tahun dan jika berkhidmat selama 21 tahun maka masih muda dengan mungkin ada anak yang masih kecil lagi.

“Sebab itu kita nak pinda Akta Angkatan Tentera ini supaya semua perlu bekerja selama 21 tahun dan apabila bersara mereka layak mendapat pencen, itu sedang kita bincangkan,” katanya.

Beliau berkata, pindaan itu adalah cadangan kementerian dalam menjamin warga tentera ada pendapatan dan dalam masa sama apabila berhenti masih boleh menjalankan perniagaan serta bekerja di tempat lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here