KKM minta peniaga burger buat rayuan segera

0
1

PENIAGA burger, Wan Mohd Faisal Wan Kadir yang dikenakan kompaun RM50,000 diminta untuk segera mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata pihaknya melihat kes itu sebagai satu kes khusus dan perlu ditangani dengan segera.

Beliau berkata, pihaknya amat prihatin dan memandang serius terhadap kes yang mendapat perhatian dan simpati ramai itu.

“Mereka yang dikompaun sentiasa diberikan peluang untuk mendapat keadilan dan dibenarkan untuk mengemukakan rayuan mengikut mekanisme yang disediakan.

“Justeru, KKM akan membuat penilaian semula mengenai kes peniaga burger itu bagi mempertimbangkan sama ada akan diberikan pengurangan atau pengecualian sekiranya didapati ada asas yang munasabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Adham berkata, tujuan KKM menguatkuasakan undang-undang dan mengenakan kompaun adalah untuk mendidik dan bukan hukuman semata-mata.

“Orang ramai diminta memberikan kerjasama yang tinggi untuk sama-sama melindungi diri, keluarga dan masyarakat serta seterusnya membendung penularan Covid-19,” katanya.

Kelmarin, seorang peniaga burger, Wan Mohd Faisal, 38, dikenakan kompaun RM50,000 oleh pihak polis bagi kesalahan berniaga melebihi waktu ditetapkan.

Dia yang menjalankan perniagaan itu di hadapan rumahnya di Kampung Rambutan Rendang, Kelantan memaklumkan didatangi beberapa anggota polis ketika menyiapkan tempahan pelanggan jam 11.10 malam, Ahad lalu.

Polis kemudian mengeluarkan kompaun RM50,000 bagi kesalahan berniaga melebihi had masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/27/polis-teliti-semula-kompaun-rm50000-peniaga-burger/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here