KETIKA kisah peniaga burger dikompaun RM50,000 masih hangat diperkatakan netizen, kini muncul pula pengakuan seorang peniaga colek di Kelantan yang dikompaun dengan jumlah sama.
Mohd Azizi Mohd Nor, 42, berkata beliau berniaga colek pada setiap malam sepanjang Ramadan ini di hadapan rumahnya di Kampung Chekok Tengah, Kota Bharu.
Beliau mengakui hanya berniaga kecil-kecilan di kampung dengan pendapatan tidak sampai RM100 sehari, lapor Berita Harian.
Menurut Mohd Azizi, kira-kira jam 11.20 malam kelmarin dia dan isteri terkejut apabila didatangi beberapa anggota polis lalu mengeluarkan kompaun RM50,000 atas kesalahan beroperasi lebih masa ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya terkejut dan terkedu melihat jumlah kompaun dikenakan, sedangkan untuk mendapatkan RM100 setiap malam dengan berniaga colek pun susah kerana berniaga kecil-kecilan di kawasan kampung.
“Sebenarnya ketika anggota polis tiba, saya sudah menutup kedai jam 10 malam dan sebahagian lampu juga sudah ditutup. Cuma bahagian dapur sahaja belum ditutup kerana saya dan isteri sedang mengemas ketika itu dan sudah tentu mengambil masa agak lama.
“Pada masa sama saya sedang menggoreng keropok untuk anak-anak memandangkan mereka belum tidur,” katanya.
Mohd Azizi yang mempunyai lima anak masih bersekolah serta perlu menanggung tiga anak saudara, mengakui tidak mampu membayar jumlah kompaun tersebut.
“Jangan kata RM50,000, jika dikurangkan RM10,000 pun saya tak mampu dan disebabkan tidak mampu serta tiada pilihan lain, saya lebih rela memilih untuk masuk penjara.
“Ini kali pertama saya dikenakan kompaun tetapi sudah dikenakan RM50,000. Saya bekerja sebagai mekanik selain membantu isteri berniaga mi celup pada hari biasa.
“Cuma setiap kali Ramadan sejak empat tahun lalu, saya dan isteri berniaga colek pada waktu malam,” katanya.
Disebabkan buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan, beliau sudah ke Pejabat Kesihatan Daerah semalam untuk membuat rayuan dan sehingga kini mereka masih buntu dengan apa yang berlaku.
“Sejak malam kelmarin, saya dan isteri masih buntu sehingga tidak mampu tidur malam memikirkan nasib menimpa kami. Saya juga berharap ada pihak tampil membantu,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat memaklumkan, pihaknya mengambil pendekatan untuk meneliti kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap tiga peniaga termasuk peniaga colek di Kota Bharu, malam kelmarin.
Beliau berkata, pihaknya akan memanggil semula orang yang dikenakan kompaun (OKK) membabitkan tiga peniaga itu.
Katanya, peniaga berkenaan akan dipanggil untuk ditawarkan nilai kompaun mengikut garis panduan (Penetapan Nilai Tawaran Kompaun dan Kadar Pengurangan Kompaun) yang ditetapkan bagi kesalahan mengikut Akta 342 dan peraturan-peraturan di bawahnya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

