Muhammad Afwa pilihan Siti

0
2

MUHAMMAD Afwa sah menjadi nama kepada cahaya mata kedua penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Siti mengumumkan, Muhammad Afwa dipilih kerana nama itu mempunyai makna yang bersesuaian dengan kelahirannya dalam Ramadan.

“Hari ini, 26 April 2021, bersamaan dengan 14 Ramadan 1442H, anakanda saya genap berusia tujuh hari. Sunat menamakan anak yang baru lahir dengan nama yang elok dan membawa makna baik kerana nama ini akan dipanggil pada hari akhirat kelak.

“Alhamdulillah, hari ini, suami dan saya berkongsi wajah dan nama anakanda kedua. Kami menamakan anakanda dengan nama Muhammad Afwa yang membawa makna keampunan atau kemaafan.

“Muhammad Afwa lahir pada bulan Ramadan, bulan keampunan dan dalam doa malam Lailatul Qadar juga ada menyebut afwa,” katanya, hari ini. 

Siti juga berkongsi nama itu melengkapkan afiyah dan terdapat dalam doanya dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

“Semoga anakanda Muhammad Afwa sentiasa dalam keampunan dan kemaafan Allah SWT dan kita semua juga dalam lindungan-Nya,” tulisnya.

Terdahulu, Siti melahirkan bayi lelaki seberat 3.84 kilogram (kg) melalui pembedahan di sebuah pusat perubatan di Selangor pada 19 April lalu.

Siti dan suami dikurniakan anak sulung, Siti Aafiyah Khalid tiga tahun lalu. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here