DUA pemancing maut akibat dipanah petir dalam kejadian di Kolam Ikan Emapang Kampung Cempaka, Lanchang, Pahang, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang meninggal dunia adalah, Muhammad Farhan Zainal Abidin, 20 dari Kampung Rantau Panjang, dan Muhammad Fitri Fahmy Hashim, 27, dari Jalan Setia, Lanchang.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 4 petang daripada pembantu perubatan Klinik Kesihatan (KK) Lanchang.
Menurutnya, dua mangsa terbabit bersama tiga lagi rakan berusia antara 22 hingga 47 tahun pergi ke kolam memancing tersebut kira-kira jam 12.30 tengah hari.
“Sebelum kejadian, dua mangsa berkenaan dikatakan berteduh di bawah pokok di tepi kolam itu ketika hujan lebat disusuli dengan petir.
“Seorang rakan mereka pula balik ke rumah untuk mengambil telefon bimbit yang tertinggal,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata, dua lagi rakan mengambil joran untuk pulang sebelum melihat kedua-dua mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.
“Mereka terus membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Lanchang namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di klinik berkenaan
“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk dibedah siasat,” katanya. – Malaysiapost

