PKPD 5 lokaliti di mukim Hulu Besut dilanjutkan

0
1

KERAJAAN hari ini bersetuju melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti di daerah Besut yang dijadualkan tamat pada Selasa ini.

Lima lokaliti yang terlibat adalah Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru, Kampung Keruak, Kampung Pak Sik dan FELCRA Keruak, Mukim Hulu Besut, yang terletak di Besut, Terengganu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini sebanyak 107 kes positif Covid-19 direkodkan melibatkan kesemua lokaliti tersebut.

Katanya, ia hasil daripada 2,077 ujian saringan yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dengan 22 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat serta terdapat 160 sampel yang sedang menunggu keputusan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di kelima-lima lokaliti seperti yang dinyatakan bermula 28 April sehingga 4 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, KKM hari ini melaporkan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di Kampung Dambai Inanam di Kota Kinabalu, Sabah.

Katanya, sehingga kini KKM melaksanakan 74 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak enam kes positif Covid-19 direkodkan dalam tempoh satu minggu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Dambai Inanam, Kota Kinabalu, Sabah bermula 26 April sehingga 9 Mei 2021.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti luar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here