AHLI Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan parti pembangkang hari ini, mendesak Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin serta dua timbalannya meletakkan jawatan kerana didakwa gagal memikul tugas khususnya dalam mendepani Covid-19.
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, pihaknya mengambil maklum kegelisahan dan keresahan guru, ibu bapa, penjaga, pelajar dan masyarakat berkaitan kes Covid-19 melibatkan kluster Pendidikan yang semakin meningkat mutakhir ini.
Menurut mereka, pembukaan sekolah secara berperingkat pada tahun ini juga didakwa dilakukan tergesa-gesa sejurus tidak lama selepas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)diumumkan.
Kenyataan itu berkata, keputusan itu dibuat tanpa disertai penerangan yang jelas kepada masyarakat tentang pelan dan mekanisme pembelajaran dalam norma baharu melibatkan sekolah jika terdapat kes apabila sekolah dibuka.
“Kami mengiktiraf usaha bersepadu pihak pengurusan sekolah dan para guru di seluruh negara dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang diberikan, di samping memastikan pendidikan terus berjalan demi kesejahteraan dan masa depan anak-anak bangsa.
“Kami akur bahawa usaha mengekang Covid-19 dari merebak lantas memutuskan rantaian jangkitan wabak menuntut usaha bersepadu semua pihak tanpa kompromi dengan mana-mana individu mahupun keadaan, demi memastikan keberkesanan usaha terangkum tersebut,” menurut kenyataan itu.
Namun, mereka berkata, apa yang berlaku kini menyebabkan pihak pengurusan sekolah hilang arah dan punca apabila berlaku peningkatan kes di sekolah, bagaimanapun mereka tidak dipersiap untuk PDPR ketika sekolah ditutup.
“Malah pemberian 150,000 komputer riba yang dijanjikan kerajaan masih tidak kelihatan.
“Rakyat umumnya kabur tentang hala tuju dan pelan tindakan terancang pihak kementerianberkaitan pendidikan di kala pandemik kerana tidak wujud ketelusan maklumat dari KPMkepada rakyat,” katanya.
Mereka berkata, apa yang pasti, kemarahan rakyat terutamanya guru, pentadbir sekolah dan ibubapa terhadap kerajaan dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah berhubung kelemahan pengendalian terhadap situasi terkini yang turut dizahirkan di media sosial.
“Atas kesedaran ini, kami mewakili semua Ahli Parlimen PH dan parti-parti pembangkang mendesak Menteri Pendidikan beserta dua timbalannya yang dilihat gagal melaksanakan tugas seperti diharapkan rakyat supaya segera berundur demi masa depan rakyat dan negara tercinta,” kata kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu membabitkan, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH, Dr Maszlee Malik; Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR); Teo Nie Ching (DAP); Datuk Dr Hasan Baharom (Amanah).
Selain itu, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO); Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA); Datuk Wira Amiruddin Hamzah (Pejuang) dan Ahmad Hassan dari Parti Warisan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/23/67-peratus-sokong-muhyiddin-pm-merdeka-center/

