Isu pemeriksaan datang bulan: Jelas pelanggaran terhadap hak kanak-kanak – SUHAKAM

0
1

PESURUHJAYA Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal menzahirkan kebimbangan berhubung laporan mengenai berlakunya ‘pemeriksaan datang bulan’ di sekolah-sekolah awam di Malaysia.

Beliau berkata, walaupun perbuatan berkenaan dianggap sebagai satu bentuk hukuman disiplin namun, ia jelas merupakan pelanggaran terhadap hak kanak-kanak dan menyalahi undang-undang kerana wujudnya unsur-unsur gangguan dan penderaan seksual.

“Ia selaras dengan Perkara 28 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995, negara adalah pihak wajib untuk memastikan sekolah- sekolah melaksanakan disiplin selaras dengan hak dan kemuliaan kanak-kanak.

“Di bawah Konvensyen yang sama, Perkara 16, 19 dan 36 masing-masing menyatakan bahawa kanak-kanak mempunyai hak untuk privasi; perlindungan daripada penyalahgunaan, keganasan, dan pengabaian; dan perlindungan dari segala bentuk eksploitasi lain yang merangkumi eksploitasi seksual dan gangguan seksual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Kementerian Pendidikan Malaysia tentang tanggungjawabnya untuk melindungi semua kanak-kanak atau pelajar dari segala bentuk gangguan dan eksploitasi seksual, sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 34 CRC.

“Kementerian diminta untuk mengambil tindakan tegas terhadap guru-guru dan pihak sekolah yang telah melanggar hak dan maruah kanak-kanak sebelum ini.

“Guru yang telah melakukan perbuatan tersebut hendaklah didakwa di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 atau Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Garis panduan mendisplinkan pelajar yang lebih jelas mesti diperkenalkan untuk memastikan tindakan guru salah guna kuasa tidak berulang,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan semua guru akan tugas mereka sebagai pendidik, dan tidak boleh memberi layanan buruk dan mengganggu pelajar semasa proses pembelajaran dan pengajaran.

“Amat penting bagi Malaysia untuk mewujudkan dan memastikan persekitaran yang lebih selamat untuk generasi masa hadapan kita.

“Justeru, SUHAKAM menyeru semua Kementerian dan pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa dan guru untuk bersama-sama memastikan semua sekolah dan sekolah berasrama penuh seumpamanya, menjadi tempat yang selamat untuk kanak-kanak pada setiap masa,” katanya.
-Malaysiapost

Artikel berkaitan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here