Hidayah Abam tak menang tangan penangan ‘Kasih Chocolate’

0
2

Nurul Huda Abhar

KEDATANGAN Ramadan tahun ini cukup bermakna buat balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Nurhidayah Mohd Ali, yang kian sibuk menguruskan tempahan biskut raya yang diberi nama ‘Kasih Chocolate’.

Lebih istimewa apabila nama biskut tersebut diambil sempena lagu dendangan arwah suaminya, berjudul ‘SiKasih’.

Siti Nurhidayah atau dikenali sebagai Hidayah Abam memberitahu perniagaan yang diusahakan kini mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Alhamdulillah, perkembangan bisnes saya dalam bulan Ramadan ni sangat baik dan disambut dengan jayanya daripada followers saya. Terima kasih kerana sentiasa menyokong saya tanpa henti. Syukur kerana masih dapat sambutan yang luar biasa seperti tahun lepas.

“Aktiviti ketika Ramadan, saya membuat biskut raya yang diberi nama ‘Kasih Chocolate’ sempena lagu arwah suami saya ‘SiKasih’.

“Setiap hari saya membuat biskut raya dan dibantu dengan ahli keluarga, setiap hari juga saya ada buat pengeposan. Saya membuat pengeposan di seluruh Malaysia, Sabah Sarawak dan Singapura,” katanya kepada Malaysiapost.

Hidayah berkata, selain membuat jualan biskut raya, beliau juga membuka tawaran kepada sesiapa yang berminat ingin menjadi ejen Kasih Chocolate bagi menambah sumber pendapatan.

Katanya, hasrat membuka peluang kepada ejen bertujuan ingin membantu wanita di luar sana untuk sama-sama berjaya dan mampu merealisasikan impian masing-masing.

Menurut Hidayah, beliau bersyukur kerana tidak mempunyai sebarang masalah menguruskan penjagaan anak tunggalnya, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang berusia dua tahun.

“Alhamdulillah, Hamzah faham jika saya kata, “ibu nak kerja dik”. Setakat ini, Alhamdulillah, tiada halangan dalam pengurusan anak sambil saya berniaga.

“Bila berniaga, lagi banyak waktu yang terluang untuk saya bersama dengan anak serta bantuan mak juga jika saya terlalu sibuk untuk menyiapkan biskut raya yang telah ditempah.

“Saya buka tempahan setiap hari. Sebalang RM37 dan isinya ada 30 biji,” ujarnya.

Sementara itu, Hidayah juga memohon maaf jika pernah melakukan kesilapan sebelum ini, dan meminta orang ramai mendoakan dirinya agar sentiasa kuat dan tabah.

“Doakan saya agar sentiasa kuat dan tabah untuk lalui hari-hari yang mendatang. Saya doakan kalian semua dimurahkan rezeki seperti air zam-zam yang mengalir serta sihat tubuh badan.

“Selamat berpuasa dan selamat Hari Raya maaf zahir dan batin dari saya dan keluarga,” katanya.

Hidayah dan Abam melangsungkan perkahwinan pada 8 Disember 2017 di Masjid Jamek Sultan Hishammuddin, Sabak Bernam.

Pasangan berkenaan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.

Abam meninggal dunia akibat demam panas pada 10 Februari 2020 di kediamannya di Gombak, Selangor. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/02/10/setahun-pemergian-abam-hidayah-sedekah-mi-kari-bihun-sup/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here