Elak kuasa politik terus pengaruhi sistem kehakiman – Zaharudin

0
1

TIADA pemisahan antara badan kehakiman dan kuasa politik menyebabkan sistem kehakiman negara dipengaruhi pemegang kuasa politik semasa.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Zaharudin Muhammad berpendapat sesiapa sahaja yang menjadi parti pemerintah, maka adalah agak mustahil ahli atau konconya akan didakwa di mahkamah.

Menurutnya, ketika ini bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibicara dan disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta didakwa sebanyak mungkin selepas beliau bukan lagi Perdana Menteri (PM).

“Sebelum ini, kes Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng digugurkan waktu dia berada dalam kerajaan sebagai menteri serta kes sindirian Najib terhadap video Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali yang digugurkan dengan alasan video tidak jelas.

“Begitu juga dengan kes pertikaian peguam Najib terhadap hakim yang mengadili kesnya, kes suspek pembunuh Adib yang dibebaskan waktu kerajaan bukan Islam dilihat berkuasa dan seumpamanya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Zaharudin yang juga Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS dan Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, berkata beliau tidak mahu mengulas tentang siapa betul dan siapa salah dalam kes-kes berkenaan namun sistem perundangan negara nampak bermasalah.

“SPRM misalnya, walaupun dilihat sebagai pihak berkuasa mencegah rasuah, tetapi pengarah SPRM sendiri dilantik dengan pengaruh daripada PM semasa.

“Jadi, jika kes rasuah yang melibatkan parti pemerintah yang PMnya adalah presiden parti, pasti kes akan dibuang. Prosesnya, pihak SPRM tidak ada kuasa mendakwa, mereka hanya menyiasat dan hasil siasatan akan diserahkan pihak Peguam Negara yang kemudian dirujuk pula kepada pihak PM yang melantiknya.

“Jika kes boleh cemarkan imej parti yang mendokong PM, maka kes ini akan di ‘kawtim’. Apatah lagi jika rasuah itu atas arahan PM, maka lagilah sukar untuk diambil tindakan dalam keadaan sistem perundangan seperti ini.

“Oleh itu, sesiapa sahaja yang jadi parti pemerintah, agak mustahil kuncu-kuncunya akan didakwa rasuah kecuali team B yang lawan Team A yang sedang memerintah,” katanya.

Beliau berkata, penyelesaian terbaik adalah pelaksanaan Wilayah Al-Mazalim iaitu satu portfolio dalam sistem negara islam yang berfungsi sebagai pencegah kepada korupsi dan kezaliman pemerintah.

“Dalam sejarah Islam, pemimpin-pemimpin serta kerabat mereka pernah dipecat serta dikenakan hukuman oleh Wali Al-Mazalim dan antara yang pernah dipecat ialah orang kanan Khalifah, Ibn Nahik sebagai ketua turus tentera (menteri pertahanan).

“Faktornya ialah, penyiasat dan pendakwa serta hakim portfolio ini bukan dilantik oleh pemerintah, berbeza dengan sistem kehakiman serta bidang kuasa peguam negara dan SPRM itu sendiri,” katanya.

Zaharudin berkata, pihaknya akan meneruskan penulisan bagi memperkenalkan wilayah Al-Mazalim, perbandingan dengan sistem kehakiman pada hari ini serta bidang kuasa SPRM. – Malaysiapost

Foto Kredit: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here