Dilema perpaduan menurut Hadi Awang

0
1

SEMUA agama, ideologi dan teori mengajak kepada perpaduan mengikut prinsip, konsep dan hala tuju masing-masing, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, terdapat fahaman yang berkonsepkan bangsa dan keturunan serta ada juga yang berasaskan satu agama serta berteraskan kepentingan politik, ekonomi atau sempadan wilayah.

“Islam berpandukan petunjuk Kitab Allah (al-Quran) dan hikmah (kebijaksanaan) pelaksanaannya oleh Rasulullah SAW (al-Sunnah).

“Bahkan, Islam juga menegaskan pendekatannya bagi mewujudkan perpaduan mengikut petunjuk tersebut. Suatu petunjuk yang tidak berpisah daripada ajaran al-Quran dan hikmah nya,” katanya yang disampaikan melalui Minda Presiden PAS di Facebook hari ini.

Menurutnya, agama Islam membawa rahmat kepada seluruh alam dan masyarakat yang majmuk, tanpa sempadan dan perbezaan.

“Maka Islam menyatakan konsep perpaduan yang sebenar, secara terang dan nyata tanpa boleh dikelirukan oleh mereka yang berpura-pura dan tidak ikhlas dalam amalan dan tujuannya.

“Manusia juga mempunyai fitrah jasad, roh, akal dan bermasyarakat madani. Maka, prinsip dan konsep perpaduan dalam Islam bersifat holistik,” katanya.

Beliau berkata, perpecahan yang berlaku dalam kalangan yang mengaku Islam, berpunca daripada pendekatan masing-masing, walaupun berpegang dengan al-Quran yang sama dan menghadap kiblat serta berada dalam masjid yang sama.

“Mengapa masing-masing tetap juga berpecah belah? Puncanya ialah tidak mematuhi ajaran Islam yang sebenar daripada sumber petunjuk dan hukumnya.

“Marilah kita bersama-sama membaca dan mengkaji al-Quran dengan ilmu. Bukan membuat kenyataan tanpa berasaskan ilmu atau buta al-Quran yang lebih buruk daripada buta huruf.

“Selain itu, janganlah menjadi jahil murakkab dengan merasa tahu semua perkara, walhal sekadar berilmu dalam aspek yang terhad dalam sebahagian kecil daripada bidang aqidah, syariat dan tasawuf sahaja,” katanya.

Abdul Hadi berkata, disebabkan hal sedemikian, al-Quran diwahyukan untuk menjadi petunjuk yang sempurna dan di bulan Ramadan setiap umat Islam digalakkan bertadarus membaca al-Quran yang merupakan mukjizat ilmu yang tetap dipelihara oleh Allah SWT. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here