MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengarahkan semua masjid mukim, surau dan musolla di seluruh negeri itu ditutup dan sebarang aktiviti termasuk solat Jumaat dan Tarawih tidak dibenarkan.
Bagaimanapun, Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, masjid negeri, bandar dan jajahan dibenar mengadakan aktiviti ibadat seperti solat Jumaat dan sunat Tarawih dengan 50 peratus kapasiti masjid.
“Aktiviti lain termasuk tazkirah, tadarus al-Quran, iktikaf dan lain-lain tidak dibenarkan.
“Jemaah hendaklah berada dalam saf dengan penjarakan dua meter,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berharap, semua pihak akan memberikan kerjasama atau tindakan akan diambil kepada yang gagal mematuhi peraturan itu.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah mulai 16 hingga 29 April ini.
PKP dilaksanakan berikutan peningkatan kes Covid-19 sebanyak 30.5 peratus di Kelantan dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 756 kes kepada 1,088 kes dan semua tujuh daerah itu dalam zon merah, selain terdapat kluster baharu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi. – Malaysiapost

